Nuffnang

Monday 21 November 2011

Pengertian Politik...

Politik (Siasah)

Politik yang dalam Bahasa Arab disebut “Siasah”. Secara harfiyahnya dapat dimaksudkan sebagai mengurus, mengendali atau memimpin sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

كَانُوْا بَنُوْا اِسْرَائِلَ يَسُوْيُهُمْ اَنْبَيَاءُ هُمْ

“Adapun Bani Israil dipimpin oleh para nabi mereka”.


Secara syarie pula politik (siasah) diertikan sebagai mengelola segala kepentingan rakyat terutamanya dalam ruang yang melingkupi negara atau masyarakat. Ia dilaksanakan dengan cara-cara yang dapat menjamin terealisasinya kemaslahatan umum dan menghindarkan segala macam kerugian dengan jalan yang tidak melanggar syariat Islamiyah melalui kaedah-kaedah asasinya, sekalipun tidak sejalan dengan pendapat para tokoh mujtahid.

Termasuk yang dimasukkan ke bidang politik (siasah) ialah hukum ahkam (juga perundangan) pemerintah, pengadilan, selok-belok kementerian, lembaga-lembaga pemerintah, urusan ketenteraan (termasuk kepolisan) dan sebagainya.

Antara seruan dakwah yang diperjuangkan dalam gerakan Ikhwanul Muslimin ialah berpolitik atau bersiyasah. Politik adalah antara sasaran dan tujun utama dalam pertubuhan ini. Malangnya kegopohan, kerakusan dan ditambah dengan kemuflisan tokoh mereka dalam ilmu-ilmu siyasah as-Syariyah dan asyik mempromosikan jenama politik masing-masing, ianya telah memberikan kesan yang negatif kepada pertubuhan ini dan kepada semua gerakan-gerakan yang pro Ikhwanul Muslimin di Mesir yang menjadi kubu gerakan ini dan di negara-negara yang lainnya. Kegiatan politik tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin pula telah dicemari dengan berbagai-bagai bentuk bid’ah yang disangka Islami, sama ada bid’ah ala Khawarij, neo Muktazilah atau sekular. Akibatnya, selain menimbulkan perpecahan ia juga memunculkan keganasan diberbagai-bagai negara, sama ada negara Islam atau negara kuffar.

Antara tokoh-tokoh mereka yang mencampur-adukkan antara siyasah as-syariyah (siyasah Islamiyah) dengan siyasah taghutiyah ialah Yusuf al-Qaradhawi yang meyamakan Islam dengan demokrasi, Muhammad al-Gahazali yang menganggap siyasah Isytirakiyah (sosialis) itu Islam dan Islam itu adalah sosialis dan laungan Hasan al-Bana yang menjadikan pemikiran sufisme dan ekonomi kapitalisme sebagai dasar pentarbiahan siasah yang diperjuangkannya.

Menurut hukum syara dan kesepakatan ahli limu, bahawa para pemimpin (Ulil Amri) yang mampu berijtihad untuk melakukan kebajikan politik (siyasah syariah) tidak terikat pada pendapat para imam terdahulu. Kerana kebajikan politik adalah usaha untuk mengwujudkan kepentingan umum (rakyat) yang tidak ditetapkan secara khusus oleh agama, sebaliknya hanya diberikan pendoman secara umum. Contohnya, penulisan al-Quran dalam satu mushaf pada masa Khalifatur Rasyidin. Semua catitan ayat-ayat al-Quran lainnya dibakar setelah mushaf sempurna ditulis. Perkara ini dilakukan berdasarkan prinsip kepentingan umum yang tidak melanggar hukum-hukum syara.

Ibnu Nujaim rahimahullah berkata:


“Politik (siyasah) secara syarie atau akli (akal), disepakati wajib hukumnya”,

Ini bermakna semua orang yang beriman terlibat dalam masalah siyasah. Lantaran masalah kehidupan manusia tidak akan berjalan dengan teratur tanpa adanya siyasah, pemimpin dan kepimpinan, sama ada pemimpin tersebut adil atau zalim, maka ada kebenarannya apa yang terungkap di dalam sebuah kata-kata hikmah yang telah menyebutkan:

“Sultan (pemimpin/pemerintah) yang zalim lebih baik dari pada kekacauan (huru-hara) yang berterusan (lantaran ketiadaan pemimpin)”.

Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Seseorang itu sewajarnya mengetahui bahawa mengurus (mengatur) persoalan kehidupan manusia merupakan kewajiban agama yang tertinggi, malah agama dan dunia tidak akan sempurna tanpa siyasah”.

Sememangnya manusia tidak berdaya mengurus kepentingan mereka dengan baik jika tidak dibantu dan bersatu di bawah satu daulah, satu siyasah dan seorang pemimpin atau pemerintah. Kewajipan amar makruf dan nahi mungkar tidak akan terlaksana dengan sempurna tanpa adanya kekuatan, tunjangan dan kerjasama melalui siyasah dan kepemimpinan (pemerintah).

Tetapi para tokoh Ikhwanul Muslimin mendidik para pengikutnya agar tidak mendampingi pemerintah dan tidak bekerjasama dengan pemerintah, kecuali ada tujuan-tujuan tertentu atau kerana muslihat. Sebaliknya mereka menubuhkan hizbi-hizbi untuk menggulingkan pemimpin yang ada dengan alasan tidak berhukum dengan hukum Allah.

Para ulama sewajarnya bersatu di bawah naungan pemimpin untuk membantu penguasa atau pemerintah beramar makruf dan nahi mungkar. Ulama dan pemerintah umpama mata wang yang tidak boleh dipisahkan walaupun sesebuah negara atau pemerintahan tersebut belum melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya. Dasar ini berbeza dengan prinsip pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin terutamanya Sayid Qutub. Beliau mengkafirkan pemerintah selagi tidak berhukum dengan hukum Islam. Pengkafiran Sayid Qutub ternyata hanya beralasan dengan teori Tauhid Hakimiyah yang diwarisi dari pemikiran Khawarij berbaur dengan falsafah dan pemikiran Muktazilah.

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah mencontohkan pendidikan (tarbiyah) yang terbaik untuk umatnya dalam mensikapi pemerintah. Baginda menjelaskan hakikat perkara ini dengan sabdanya:


اِنَّ السُّلْطَانَ ظِلُّ اللهَ فِى اْلاَرْضِ فَمَنْ اَهَانَهُ اَهَانَهُ اللهُ وَمَنْ اَكْرَمَهُ اَكْرَمَهُ الله
“Sesungguhnya seorang pemerintah itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa menghinanya maka Allah akan menghina dia dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia”.


لا تَسُبُّوْا اُمَرَاءَكُمْ وَلاَ تَغِشُّوْهُمْ وَلاَ تَبْغَضُوْاهُمْ وَاتَّقُوْا الله وَاصْبِرُوْا فَاِنَّ اْلاَمْرَ قَرِيْبٌ

“Janganlah kamu mencela pemimpin-pemimpin kamu, janganlah kamu dengki kepada mereka dan janganlah kamu membenci mereka, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya perkaranya adalah dekat”.


Kewajipan setiap orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasulnya untuk menegakkan Islam di setiap sudutnya, hanyalah mengambil contoh yang datangnya dari apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan bukannya dari Ikhwanul Muslimin. Sejak ditubuhkan Ikhwanul Muslimin tidak pernah berjaya dalam apapun perjuangan yang mereka perjuangkan kerana perjuangan dan dakwah mereka adalah demi menegakkan bendera sufi, siyasah, ekonomi, kesatuan, daulah dan berbagai-bagai falsafah aklani (bertunjangkan akal). Sebaliknya orang-orang yang beriman dan yang bermanhaj Salaf as-Soleh memula dan mengutamakan dakwah mereka dengan menegakkan bendera akidah tauhid, kemudian barulah hal-hal furu’iyah. Kerana tidak pernah ada seorangpun nabi atau rasul yang memulakan dakwah mereka dengan mendahulukan falsafah pemikiran, sufi, pluralisma agama, ekonomi, merebut daulah atau siyasah sehingga mengabai dan membiarkan berbagai-bagai jenis kesyirikan terus berleluasa.

Ketahuilah bahawa kesemua para nabi dan rasul memulakan dakwah mereka dengan seruan dakwah untuk menegakkan akidah tauhid dan memerangi segala bentuk kesyirikan sebagaimana yang dilakukan oleh para pendakwah yang bermanhaj Salaf as-Soleh dari dahulu sehingga ke hari kiamat, kerana itulah sebenarnya tujuan utama para nabi dan para rasul diutus kepada umatnya. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza wa-Jalla di dalam al-Quran:


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ إِلاَّ نُوْحِيْ إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُوْنِ

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku”.


Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala sentiasa memberkati kita semua dan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, diberi ilmu yang bermanfaat agar tidak menjadi golongan muflisin, diselamatkan dari berbagai-bagai bid’ah dan kesyirikan. Dan mudah-mudahan juga kita semua dimatikan dalam keadaan husnul khatimah.
Amin......

No comments: