Nuffnang

Wednesday 21 September 2011

Kejadian Ragut...



     Zaman mutakhir ini terlalu banyak peristiwa yang menakutkan dan mengerikan. Penipuan berlaku sana sini. Rasuah berleluasa. Manusia sudah tidak mengenal haram dan halal. Kata orang : ' Asalkan ada insang, ikan...dan kalau ada kepak, burung...... '.
     Manusia sudah tidak ada amanah lagi. Ajaran Allah tidak dipedulikan. Petunjuk Rasulullah diletakkan di tempat yang paling bawah sekali. Mereka yang dipertanggungjawabkan menjaga harta rakyat, harta orang lain berlaku tidak jujur. Mereka pecah amanah. Mereka ' telan ' harta atau ' amanah ' yang telah diamanahkan kepadanya. Mereka ' tipu ' harta orang lain. Mereka ' selewengkan ' wang dana yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaga dan menguruskannya.
     ' Samun menyamun ' berlaku di sana sini. Wanita-wanita yang memakai emas dan perak menjadi mangsa ragut penyamun-penyamun bermotosikal. Di kawasan perkampungan Melayu di pinggir-pinggir wilayah terdapat ramai peragut dan penyamun-penyamun yang menggunakan motosikal. Wanita-wanita yang pulang dari kerja, pulang dari masjid dan surau pun menjadi mangsa mereka. Wanita-wanita yang turun dari bas, dari LRT kemudian melalui lorong-lorong sunyi untuk pulang ke rumah akan menjadi sasaran mereka.
     Sama ada pagi, petang, tengah malam, kejadian ragut beg tangan, barang kemas di leher atau pun di tangan dibuat oleh mereka. Pernah berlaku kejadian di mana seorang perempuan sedang berkebun menanam pokok bunga di pinggir rumahnya didatangi oleh seorang pemuda bermotosikal lalu meragut rantai lehernya.
     Pernah juga berlaku kejadian di mana pekerja-pekerja ' penyembor ubat nyamuk untuk membanteras denggi ' sedang menyembur ubat itu, di mana asapnya menjadi semacam kabus berlaku orang ragut rantai leher. Di saat-saat ' kabus tebal ' kerana semburan itu, ada pihak menggunakan kesempatan menyamun. Dalam sekelip mata penyamun meragut dan terus menghilangkan diri di tengah-tengah orang sedang menyembur ubat nyamuk dan di tengah-tengah kabus tebal itu.
     Sekarang ini bukan di luar rumah saja tidak selamat, malah ' dalam kawasan rumah sendiri ' pun tidak selamat. Penyamun ada di mana-mana sekarang.
     Kezaliman berlaku di mana-mana. Bunuh-membunuh antara manusia berlaku di mana-mana. Senjata merbahaya akan dibuat oleh manusia digunakan untuk membunuh manusia juga.
     Rasuah, memakan harta yang tidak halal dan mengambil hak orang lain, merampas harta orang lain dengan cara paksa, memakan titik peluh manusia lain secara haram berlaku dengan luasnya di sana sini. Pemakan-pemakan rasuah haram ini tidak takut lagi dengan undang-undang dan peraturan. Undang-undang Allah tidak dihiraukan.
     Tidakkah mereka yang pemakan rasuah itu tahu bahawa perbuatan rasuah itu kerja haram? Ia bukan saja melibatkan diri sendiri, bahkan melibatkan isteri, anak-anak, ibu bapa mereka di mana diberi makan dari rezeki yang diperolehi dari sumber yang haram?

No comments: